Hukum Penganjuran Program 'World #QuranHour'

Friday, June 09, 2017


Assalamualaikum!


Seperti tahun-tahun lepas, penganjuran 'World #QuranHour' akan diteruskan pada tahun ini pada 9 Zulhijjah bersamaan dengan 31 Ogos 2017. Program 'World #QuranHour' sudah menjadi acara tahunan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat dimana ia juga mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Justeru, penganjurannya dilihat sebagai satu usaha positif memupuk kecintaan kita kepada al-Quran dan sebagai usaha menggalakkan masyarakat membaca dan memahami isi al-Quran. 




Pun begitu, ada cakap-cakap mengatakan 'World #QuranHour' adalah bidaah. Kenapa? kerana ia dikatakan meniru perayaan masyarakat Barat yang menyambut Earth Hour setiap tahun. Faktor lain ialah kerana berhimpun pada Hari Wukuf selain daripada Arafah dan menentukan waktu tertentu untuk ibadah tertentu

Untuk mengelakkan diri kita dari tergolong dalam golongan jahil, maka disini aku kongsikan penjelasan dan dalil tentang isu ini yang dikupas sendiri oleh Datuk. Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

Dalil al-Quran dan al-Hadith
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
           (Surah al-Hajj, 22:77)
Imam al-Nawawi Rahimahullah (w.676) menyebutkan ayat ini dalam kitabnya Riyadh al-Solihin (hal. 110 & 315) kemudian menyebutkan hadis berikut.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah dalam satu kaum yang berkumpul dalam rumah daripada rumah-rumah Allah lalu membaca kitab-Nya dan saling mempelajarinya bersama-bersama kecuali Allah akan turunkan ketenangan ke atas mereka, diliputi dengan rahmat-Nya, para malaikat akan memenuhi majlis mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka dalam kalangan mereka yang dekat dengan-Nya.”
Riwayat Muslim (2699)
Berkata al-Nawawi: “Inilah dalil kelebihan berhimpun untuk membaca al-Quran di dalam masjid. Inilah pendapat mazhab kami (Syafieyyah) dan Jumhur Ulama melainkan Imam Malik.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (17/21-22)             
Justeru, secara asalnya, membaca al-Quran dan bertadarus beramai-ramai adalah digalakkan dalam Syariat.

Hukum Penamaan Quran Hour Yang Meniru Earth Hour
Kemudian kami beralih kepada perbahasan tasyabbuh, kerana dikatakan program Quran Hour ini meniru Earth Hour. Kami berpendapat persamaan ini bukanlah suatu persamaan yang dikeji. Ini kerana persamaan ini hanya pada perkataan ‘hour’ yang bererti jam. Bahkan pihak penganjur sendiri tidak mengehadkan bacaan al-Quran mesti dihabiskan dalam masa sejam kerana kelebihan tertentu. Sebaliknya ia hanya bersifat simbolik dan berjadual.
Apatahlagi persamaan ini bukanlah persamaan yang berdasarkan persamaan akidah dan kepercayaan tetapi hanyalah daripada segi adat yang baik seperti menghormati jiran, menghormati manusia dan menjaga alam sekitar.
Kaedah fiqhiyyah menyebut:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.”
Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir (hal. 89) oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti (w.911)
Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت
Maksudnya: “Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.”
Rujuk al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (hal. 65) oleh Syeikh Ali Ahmad al-Nadwi
Terkadang jika suatu adat itu bertentangan dengan nilai-nilai Islam atau memiliki unsur khurafat, maka Islam tidak membuangnya terus sebaliknya menggantikannya dengan perkara yang lebih baik. Contohnya, sunat hukumnya untuk dilumuri kepala bayi yang baru dicukur pada waktu aqiqah dengan Za`faran, Khaluq (sejenis wangian yang lebih kuat daripada Za`faran) atau wangian lain, kerana mengganti tradisi Jahiliyyah yang melumurkan kepala bayi dengan darah aqiqah. Sabda Rasulullah SAW:
اجْعَلُوا مَكَانَ الدَّمِ خَلُوقًا
Maksudnya: “Jadikan (yakni gantikan) tempat lumur darah itu dengan Khaluq.”
Riwayat al-Baihaqi  (19072) dalam Sunan al-Kubra dan Ibn Hibban (5308)

Untuk pembacaan yang lebih mendalam, korang boleh rujuk SINI. Moga dengan perkongsian ini, kita dapat belajar satu lagi ilmu baru yang membezakan kita dengan orang yang jahil. Sesungguhnya, amalan membaca al-Quran itu satu amalan yang mulia lagi terpuji. Cuma kitalah yang perlu menggerakkannya untuk mendapatkan kemuliaan tersebut. 

Jangan hanya tahu menghukum tanpa menyelidikinya terlebih dahulu. Sebaliknya, rujuklah pada ulama yang benar untuk kepastian. Semoga dibulan Ramadan penuh rahmat dan keberkatan ini, kita berupaya untuk semaikan amalan membaca al-Quran dalam diri kita dan anak-anak kita dan diteruskan walaupun setelah keluar dari Ramadan ...aaminnn.

You Might Also Like

3 pengomen comel

  1. Kalau perkara baik tu, ada je yang nak menentang...
    Nice sharing..

    ReplyDelete
  2. thanks for sharing kak....semoga program ini memberi manfaat buat kita semua

    ReplyDelete
  3. Terima kasih di atas perkongsian tersebut. Alhamdulillah, benda baik sepatutnya diteruskan.

    ReplyDelete

Apa kata korang?

DISCLAIMER - Hanimhashim.com merupakan blog peribadi. Segala pendapat yang diluahkan disini adalah berdasarkan dari pengalaman penulis sendiri dan tidak mewakili mana-mana pihak kecuali jika penulis nyatakan namanya di sini. Sebarang perkongsian atau penyebaran apa-apa maklumat dari blog ini samada melalui PRINT SCREEN atau apa saja cara adalah dilarang sama sekali kecuali dengan keizinan tuan punya blog. Tindakan akan diambil sekiranya hak persendirian ini dicabuli. Pendapat penulis tidak semestinya kekal. Terima kasih

Facebook - HanimHashimDotCom

Google+ Followers

COPYRIGHT @ 2016 HANIM HASHIM