Tuesday, January 01, 2013

# Informasi Dan Tips # Jom Tambah Ilmu

Macam Mana Kalendar Dicipta?


Kalendar atau takwim telah menjadi rujukan utama manusia sejak pertama kali ia wujud. Tanpa kalendar, kita tak mungkin mengetahui hari ini hari apa, atau bulan depan bulan yang ke berapa. Dengan adanya kalendar atau takwim ini, kita juga dapat merancang sebarang aktiviti bagi memudahkan urusan seharian selama bertahun-tahun.

Namun, bukan semua yang mengetahui sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan seharian.

Sebelum kita memahami mengenai kalendar atau takwim, perlulah kita mengetahui definisi kalendar itu sendiri. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.

Tarikh sesuatu hari itu ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.

Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan & matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contoh jenis kalendar yang menggunakan sistem ini alah Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.

Kalendar Lunar @ Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contoh kalendar yang menggunakan sistem ini ialah Takwim Hijrah. Manakala, bagi Kalendar Lunisolar pula, mengikut kedua2 bulan dan matahari. Kalendar Cina menggunakan sistem ini.

Direkodkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala, minggu bagi setiap bulan adalah 3 minggu 10 hari.


Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 365 ¼ hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (seperti dalam kalendar Gregorian). Mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.

Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap 4 tahun sekali.

Dalam sistem kalendar kini, hampur semua negara mengikut kaedah yang sama iaitu merujuk kepada Kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan Kalendar Julian yang 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada bulan Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana yang paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Kalendar Islam

Kalendar Islam atau lebih dikenali sebagai takwim Hijrah atau takwim Islam adalah Kalendar Lunar, digunakan dikebanyakkan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.


Kalendar ini berdasarkan fasa bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Setiap bulan mengandungi 29 hari atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setipa bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, maka hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Penerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan bulan ini ialah Kab Ibn Murrah, datuk ke-5 Rasulullah s.a.w. Perisitiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim Hirah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat Ali Ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan  Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi, hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina

Kalendar Cina menggunakan sistem kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan Kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.


Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pemubukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai 'kalendar pertanian' manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai 'kalendar umum' atau 'kalendar Barat'.

Kalendar Julian

Kalendar Julian diperkenalkan pada tahun 46 Sebelum Masihi oleh Julius Ceasar dan mula digunakan pada tahun 45 Sebelum Masihi. Kalendar ini dipilih selepas rundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparhus lagi.




Tahun Julian merangkumi 365 hari dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap 4 tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih digunakan oleh kebanyakan Gereja Ortodoks hingga ke hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.

sumber: berita harian, google,billyinfo.blogspot.com

1 comment:

Apa kata korang?