Breaking

Monday, December 30, 2024

Monday, December 30, 2024

Punca Kematian Mochi

 

Sudah genap setahun Milla meninggalkan kami. Kerinduan masih tiada ubatnya. Kini Mochi pulak menyusul pergi. Menambah kesedihan dan kelukaan di hati. Pemergian Mochi kali ini memang tidak kami jangkakan langsung.


Mochi sangat sihat. Dari kecil dia hanya pernah sakit mata sekali. Lepas tu, Mochi tiada langsung masalah kesihatan waima demam sekalipon. Tapi siapa sangkakan, dalam diam ada yang membunuh secara senyap dan meragut nyawa Mochi dengan begitu cepat sekali tanpa dapat kami rawati dan jaga dia.




Mochi anak bulus yang baik sejak kecil. Suka buat hal sendiri, pandai bawak diri dan tak memilih makanan. Dia boleh hidup hanya dengan makan kibble je. Cukup mudah menjaga dia. Mochi tak pernah cari gaduh dengan kucing lain dan mudah manja bila dibelai.

Seminggu sebelum tu, berat badan dia turun mendadak. Tapi tiada simptom fizikal yang jelas dia tunjukkan. Berak kencing normal, tiada nanah atau luka. Benjolan dan bengkak pun tiada. Cuma dia dah tak berapa nak makan. Asyik tido je.

Tapi pagi tu, tiba-tiba nafas dia laju. Mulutnya ternganga dan tak boleh angkat kepala pon. Terus kami bawa pergi vet untuk diperiksa. Vet suruh buat x-ray untuk sakit apa yang menimpa Mochi memandangkan tiada simptom fizikal.






Luluh hati bila vet bagitau yang Mochi mempunyai ketumbuhan di paru-parunya. Jantungnya membengkak sikit sebab perlu 'kerja' kuat untuk pam oksigen. Bahagian abdomen pula dah dipenuhi air. Lebih memilukan lagi, vet bagitau yang penyakit kanser masih tiada ubatnya😭.

Pun begitu, Mochi dibekalkan ubat untuk terus bertahan. Di rumah, dia hanya terbaring mencari nafas.




Takdir Allah, malam itu juga Mochi pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Pergilah Mochi dengan tenang. Mama redha walaupun masih sedih sehingga kini. Kami rindu Mochi. Mochi anak yang baik. 

 



Sakitnya kehilangan. Sakit lagi menanggung kerinduan .....



Tuesday, December 17, 2024

Tuesday, December 17, 2024

Vaksin Lengkap Untuk Anak-Anak Dakbu

 

Akhirnyaaa lengkap sudah vaksin untuk ketiga-tiga ketul budak comel ni. Lega banyak! Lepas ni boleh fokus pada nak mandulkan diaorang pulak. Itu semua tahun depan punya cerita. Tengok jugak pada keberadaan bajet. Yang penting diaorang punya vaksin tiga kali tu dah setel.


Satu benda yang pencinta kucing perlu tahu ialah vaksin kucing sangat penting tau. Lepas vaksin, mandul. Memang mula-mula belanja dia agak besar jugak. Tapi, kucing jarang sakit dan risiko berjangkit bila terdedah dengan kucing luar tu dapat dikurangkan. Jadi, tolonglah lakukan dua perkara ini sekiranya bela kucing indoor.



Aku sempat tanya pada vet tu, kenapa ada yang bulu panjang ada yang bulu pendek. Vet tu bagitau, yang belang tu jenis Tabby. Yang hitam tu jenis Tuksedo dan kelabu tu ...ala lupa dah! Tapi baka blue-eye jugak la walaupun mata dia tak biru.


Kenapa macam tu? Vet tu bagitau sebab walaupun mak ayah diaorang bulu pendek dan biasa-biasa je, mungkin nenek atau atok diaorang memiliki ciri-ciri bulu panjang. Kiranya diaorang ni 'mengikut' la hahaha. Oohhh baruku tahu.


Dua-dua jantan

Satu-satunya 'bunga'

Jenuh nak mikirkan nama ape nak letak kat diaorang ni. Last-last aku bubuh je nama yang terlintas di fikiran. Suh anak-anak bagi nama .... lambat sangat bagi jawapan!






Monday, December 16, 2024

Monday, December 16, 2024

Happy Birthday Nim!

 

Alhamdulillah bulan November lepas bertambah setahun lagi umurku. Dalam masa yang sama, aku mengaku aku juga takut untuk menghadapi setahun lagi kehidupan ini. Ujian dan nikmat datang tak putus. Tapi tiada manusia yang hidup tanpa diberikan ujian. Yang dah mati pun sedang diuji di alam barzakh ye dak.


Semakin naik umur ni, aku lebih suka buat hal sendiri. Bukan sombong, bukan juga membawa diri. Aku cuma nak tenang saja, walaupun kadang-kadang ketenangan tu pon tak nak datang kat aku haha. Tapi takpe, Allah uji tandanya Allah sayang kan.




Yang penting keluarga ada dekat ngan aku. Anak-anak membesar depan mata aku. Pelajaran, makan minum dan keperluan diaorang dapat kami cukupkan. Itu dah melegakan aku.

Kek ni pun cik suami buat kejutan. Bulan sebelumnya, kami anak beranak buat kejutan kat dia. Bulan aku, dia balas balik haha. 




Style aku, tak sambut birthday pon takpe. Wish saja pon takpe. Tak wish pon takpe. Sebab dari kecik aku tak pernah meraikan birthday sendiri ataupun adik beradik lain. Jauh sekali nak sambut di sekolah dengan rakan-rakan. Paling besar pun, arwah abah bawak gi makan KFC je la masa tu. Kek-kek ni takde makna nak beli haha. Buat pulut kuning pon masa khatam Quran.

Tapi bila dah anak sendiri, aku usahakan juga sambut birthday anak-anak bagi diaorang merasa happy pada ulangtahun hari lahir sendiri. 

By the way, kek red velvet tu memang sedap! Kek cheeseburn cik suami punya pun sedap cair dalam mulut. dua-dua beli kat Bakers Cottage. Tu pun satu kelebihan tinggal dekat dengan kedai bakery ni. Nak kek,nak pastry gi je jalan kaki dah sampai.





Terima kasihlah cik suami belikan kek dan surprisekan aku yang masa tu baru lepas memasak tengah melunjurkan kaki di sofa. Penat sangat berdiri lama kat dapur haha. Berdiri lama sikit pon tak larat sekarang ni....gitulahhhhhh!


Aku doa supaya Allah berikan aku kesihatan yang baik, akal yang waras, kudrat yang kuat dan kesabaran yang tinggi untuk aku menjadi anak, isteri dan ibu yang disayangi oleh keluarga...aamiinnn!




Sunday, December 15, 2024

Sunday, December 15, 2024

Dah Sampai Masa Dia

 


Penghujung tahun sekali dua dia bagi! Malam tu belting kete putus dekat pintu gerbang Federal Highway! Kebetulan malam tu, anak-anak nak makan kat cafe berhampiran opis lepas aku habis keje. Penyudahnya, kereta pulak problem!

Walaupun belting putus, gagah jugak drive sampai ke opis. Masuk parking dulu, sementara tu bawak anak-anak gi makan. Lepas makan, cik suami call insurans order towing. Dah la hujan sepanjang malam tu. Menunggu towing truck pun satu hal. Satu jam baru dia sampai huhu.




Hari Ahad dah la tu malam pulak, bengkel mana je yang masih bukak? Cari kat google, rupanya ada bengkel kereta yang bukak 24 jam. Paling dekat dengan opis ada kat Ara Damansara! Syukur ya Allah!



Cermat sungguh dua orang budak pomen ni buat keje. Cepat pulak tu. Yang kami tak puas hati cuma kat budak towing tu je la. Lambat namatey! Lepas tukar belting, budak pomen tu perasan radiator ada bocor sikit kat bahagian atas. Mungkin disebabkan tekanan tinggi bila kereta masih bergerak walaupun belting dah putus. Dia 'tendang' pergi radiator.

Murung kejap aku jadinye. Baru hangus seratus lebih dekat belting, ni nak kena berapa pulakkkkkkk! Dah la seketul radiator ni mahal nak mampuih! Tapi nak tak nak kena tukar jugak huhu. Barang saja dah dua ratus. Upah pasang seratus, jumlah tiga ratus. Kalau kat KL, dia bedal sampai empat ratus lebih! 





Penyudahnya, cik suami beli radiator dan pasang sendiri malam lepas balik keje. Malam tu hujan sepanjang malam. Patutla upah dia saja seratus atau seratus lebih. Nak bukak dan pasang balik .... fuh! Dari kul 9 lebih sampai kul 12 lebih tghmalam baru siap sepenuhnya. Jimat seratus lebih tapi dapat sakit pinggang la pastu huhu.

Begitulah ... kalau dah sampai masa datang dia punya 'sakit' kau takleh cakap ape lah. Sediakan aje duit untuk tukar barang baru. Samada kau hantar kedai atau buat sendiri. Tukar mesti kena tukar jugak.



Saturday, December 14, 2024

Saturday, December 14, 2024

Selamat Berjuang Kakak!

 

Tahun ini kakak berdepan dengan satu peperiksaan besar ... iaitu SPM. Tahun ini juga adalah tahun terakhir kakak bergelar sebagai pelajar sekolah menengah. Besau dah anak aku yang sulung ni. Rasa macam baru semalam daftarkan dia di darjah satu!


Tahun ini kakak akan berjuang demi SPM. Sepanjang kakak dari sekolah rendah sampai tingkatan tiga, ibu cuba sedaya upaya mengajar kakak mana yang mampu untuk subjek yang kakak tidak tahu. Ternyata bila masuk tingkatan empat, silibusnya totally different! Walaupun ibu juga pernah amik aliran sains di sekolah menengah dulu, tapi otak dah tepu tak berapa nak ingat dah haha.




Awal November kakak dah bermula dengan ujian pertuturan Bahasa Melayu, diikuti dengan amali sains untuk ketiga-tiga subjek Fizik, Biologi dan Kimia. Minggu depan kakak akan menghadapi ujian pertuturan Bahasa Inggeris pula. Bulan Januari barulah peperiksaan bertulis akan bermula. 

Sebagai ibu, tipulah kalau ibu tak rasa gementar. Apatah lagi kakak mesti gementar juga sebagai pelajar kan. Begitulah ibu dulu pon, dan semua calon SPM. Mesti ada rasa gementar nak jawab periksa. Sebab itu, bulan ni dan bulan depan ibu banyak amik cuti untuk beri semangat pada kakak bila jawab soalan nanti.





Apa saja aktiviti yang melibatkan sekolah, ibu akan hadirkan diri untuk support kakak dan adik. Baru-baru ni PIBG ada buat solat hajat untuk calon-calon SPM, ibu dan adik ambil peluang untuk hadir support dan mendoakan yang terbaik untuk kakak dan semua pelajar SPM.

Selain usaha, doa dan restu ibubapa juga penting untuk kejayaan anak-anak. 



 
Selamat berjuang buat anakku, Nurul Hazwani! Doa dan sokongan serta restu ibu dan ayah akan sentiasa mengiringi kakak. Semoga kakak dapat menjawab soalan dengan tenang dan baik, diterangkan hati, diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan kakak....amiinn amiiin yarabbal alamin!


Saturday, September 21, 2024

Saturday, September 21, 2024

Sebelum Meninggal Dunia, Pesan Benda Ni Dekat Waris Korang!

 

Setiap kali aku ziarah arwah abah, mata dan hati aku pasti 'sakit' lihat kubur sebelah. Aku masih tak dapat jumpa waris dan tak tahu kampung mana dia tinggal. Aku tak tahu celah mana waris dapat idea untuk bina bendul macam tu punya rapat! 


Atau tukang kedai batu nisan tu yang cetek akal tak reti nak ukur sebelum naik batu macam tu. Come on la, dah berbuih mulut ustaz ceramah pasal benda ni. Kalau tanam jenazah di tanah perkuburan wakaf, dilarang buat binaan seperti ini. Sebab ni bukan tanah kaum kerabat kita. Ni TANAH WAKAF!




Kubur lain pun ada gak bina bendul tapi takda la rapat macam ni. Dah la bina bendul, ditambah lagi simen kat tepi tu. Dah macam mana kita nak bersihkan kubur arwah abah kita?? Takkan la aku nak pijak-pijak tepi tu? Tukang batu nisan yang buat ni pon memang samdol ..serius aku cakap. Apakah kau tak tengok barisan depan tu buat macam mana??

Kubur ni bukan hari-hari waris nak datang tengok. Kau buat pondok sekali pun, tapi sampai menyusahkan orang lain nak bersihkan kubur tu apa gunanya. Lain la kalau ko bina pondok ko duduk situ sekali takpe, aku tak marah.




Dah tahun 2024, patut benda ni dah ada dalam jiwa setiap orang. Jangan benak ubi sangat cakap tak tahu. Sana sini ceramah jenuh bagitau jangan buat binaan di perkuburan. Tu papan tanda pun dah ada tertulis. Adab ziarah kubur bukan setakat tutup aurat, tapi tengok sama poin no. lapan tu!


Kita kena ingat, satu hari nanti kita semua akan mati. Bila tak cukup tanah, ajk akan korek kubur untuk masukkan jasad kita pulak tau. So tak guna kau nak bina bendul atau tempat duduk kat situ. Kalau tanam belakang umah sendiri takpa, binalah apa yang kau suka. Tapi kat TANAH WAKAF TAK BOLEH! 

 

Friday, September 20, 2024

Friday, September 20, 2024

APC 2024

 

Pehhh genap dua bulan aku 'bercuti' dari blog. Tak tahulah kemana perginya semangat aku ni pergi hehe. Nak kata sibuk jaga anak, anak-anak dah besar. Tapi kalau nak kata sibuk jaga anak bulus, itu benarrrr! Maklumla dah terlebih kuota 11 ekor! Hari-hari kutip tahik diaorang je haha.


Tu la, sapa suruh sayang kucing kan haha.



Just nak share, apa yang terjadi pada aku selama 2 bulan menghilang ni. Rupa-rupanya cerita pasal APC belum masuk lagi. Banyak kali fikir jugak nak masukkan ke tidak, kang orang cakap takabbur. Aihh pahal pulak takabbur, aku tetap aku. Takda lebih takda kurang, cuma perasaan bila dapat tahu tahun ni aku terima APC, memberikan kegembiraan dan kesyukuran yang lebih dari biasa.


Kalau nak ikutkan, ini kali kedua aku terima APC. Kali pertama tahun 2013. Ada jugak aku ceritakan dalam blog ni. Pergilah carik kalau rajin hehe. Memang aku tak terfikir tentang benda ni dah sebab dah 10 tahun kan. Mana orang nak pandang kita dah haha.


Eh rupanya masih ada yang sayang ...hahahaha.



Alhamdulillah rezeki anak-anak. Moga aku akan jadi pekerja yang lebih cemerlang di tahun-tahun mendatang. Yang penting kerja mau happy-happy, jauhi orang toksik, jangan kita pulak jadi toksik pada orang lain. Jangan campuri urusan orang lain, jangan memandai buat kerja yang bukan dalam bidang kuasa kita.


Enjoy kerja walaupun kerja syif haha. Jalani tugas itu sehabis baik walaupun kita kena bertugas di pagi raya atau public holiday. Biar orang tidur lena di malam hari, kita bersengkang mata. Asalkan pagi orang datang kerja, kita dah ready nak balik tido hahaha. 


Sekian kata motivasi dari orang yang kerja opis hour 7 tahun dan syif 13 tahun hehe. 

Sunday, July 21, 2024

Sunday, July 21, 2024

Vietnam Rolls Versi Melayu

 

Aku ni dari sehari ke sehari nak order vietnamese rolls kat tt tu. Tapi bila tengok harga untuk 4 ketul sampai lapan belas la dua puloh la, mula timbul keinginan nak buat sendiri. Kitonyo selera besar tapi bajet ciput hehe.


Bahan-bahan dia aku tak ikut seratus peratus macam dalam tt orang jual tu. Aku letak salad, timun jepun dan suhun. Orang lain letak udang la, crab stick la, daging salai la, chicken loaf la. Aku senang je. Kebetulan ada lauk sardin cincuan lebihan dalam peti ais tu haha.


Lauk sardin cincuan makan ngan nasi biasa sangat bunyinya kan. Kali ni aku hancur2kan dia letak sebagai inti dalam vietnam rolls aku. 



Kali pertama aku buat ni, memang tak semenggah rupa paras dia haha. Tengok orang buat dalam tt elok je laju je smooth je senang je dia balut. Dasar tangan takda seni! Takpe, bukan nak bagi orang makan pon, last-last masuk tekak sendiri jugak hehe.


Nak balut rice paper ni pun ada caranya juga. Jangan rendam dalam air lama sangat, benamkan sekejap je dalam air pastu boleh angkat letak atas pinggan yang disapu minyak masak. Semua ni aku belajar dari tt.


Nak sedap, stenbai sos cicah. Aku beli sos cicah Thailand jenama Life tu.




Nak lagi sedap tambahkan lebihan kuah sardin cincuan tu atas suhun tadi. Syurrrrrrkadiwala! Memang mantop meletop-meletop kenikmatannya haha. Anak-anak aku tanya, kenyang ke makan rolls ni ma? Eh 6 ketul isi pada kottttt .... memang kenyang yakmat!


Next aku nak try letak sambal petai (kering) pulak dalam rolls aku ni. Barulah ada identiti kemelayuan sikit hehehehehe. Puas hati dapat makan, jimat pun jimat sangat sebab bahan dia simple je.

Friday, July 12, 2024

Friday, July 12, 2024

Vibe Pasar Sungai Besi

 

Aku cakap kat suami, walaupun aku ni lahir dan membesar di KL tapi aku memang tak pernah sampai di Pasar Sungai Besi, KL ni. Arwah abah mungkin pernah sampai tapi tak selalu. Arwah lebih suka pergi pasar Chowkit atau Pudu.


Satu hari aku tertengok video tt tentang port sarapan sedap di KL, antaranya Pasar Sungai Besi ni lah. Ramai juga komen yang aku baca mengatakan tempat ni lejen dari zaman 80an dan ada beberapa gerai makanan otai yang telah menjual makanan berpuluh tahun disini.


Menarik! So, kami pun sampai disini untuk merasa bagaimana sedapnya.




Ada satu gerai nasi lemak yang jadi pujaan ramai disini Pak Chat kot namanya. Tapi pagi tu aku tak nampak pulak gerai tu bukak. So, takpelah kita try makan mi kari. Alhamdulillah sedap ...telur sebiji ye.





Sebelum balik aku tapau nasi lemak sambal paru dan nasi goreng. MasyaAllah suami pon cakap nasi lemak sambal paru dia sedap dan aku makan nasi goreng, ya Allah memang rasa nasi goreng tahun 90an sedap dia. Betul...aku dah lama tak makan nasi goreng yang rasa dia ada nostalgia 90an haha. 


Cuma tempat makan dia tak berapa banyak bila ramai orang. Memang kena tunggu atau beli bungkus je. Tapi vibe dia .... terbaik!



Monday, July 08, 2024

Monday, July 08, 2024

Bila Anak Langgar Peraturan Sekolah

 

Isu ni dah beberapa hari viral di media sosial, tentang seorang bapa yang mengamuk pergi 'serang' ustaz akibat dikatakan tidak berpuas hati kerana ustaz tersebut telah memotong rambut anaknya tanpa keizinan. Itu satu. Kemudian, bapa itu dikatakan membuat ugutan dan tindakan provokasi terhadap ustaz tu.


Mungkin juga ustaz itu pun ada silapnya tidak memaklumkan tindakan memotong rambut kepada ibubapa murid tersebut, namun perkara ini tidak akan selesai dengan mengamuk secara terbuka, dan akhirnya tindakan sendiri memakan tuan.


Yang buat aku tersedak tu, dia samakan situasi rambut anak dia dengan rambut baginda s.a.w. Aku tak pasti samada dia tahu ke tak budak-budak tahfiz di madrasah ada je yang tak simpan rambut panjang. Ramai je yang mengekalkan rambut pendek, kemas dan rapi. 



Nah tengok bawah!



Kredit kepada empunya gambar. Nah kau tengok! Ni gambar budak tahfiz kategori remaja. Takda pulak aku tengok rambut diaorang panjang sampai bahu? Adakah kita nak cakap diaorang ni tak ikut sunnah Nabi? Celah mana yang kena mengena dengan syurga atau neraka? Jadi anak dia terpaling syurga ke? I don't think so... 


Isu dia sebenarnya, anak kau GAGAL IKUT PERATURAN sekolah. Tu je. Semua ibubapa mesti dah sedia maklum peraturan sekolah tak kira rendah atau menengah, rambut pelajar lelaki MESTI PENDEK DAN KEMAS. Umur bapa ni mungkin dalam lingkungan 40an atau 50an, bermakna dia pernah pergi sekolah dan pernah terikat dengan peraturan sekolah kan?


Dah kalau dia sendiri dulu pun kena ikut peraturan sekolah, apa yang special sangat anak tu sampai boleh bela rambut panjang?? Adakah dia terkena penyakit yang kalau simpan rambut pendek boleh kudung sebelah kaki? atau tiba-tiba jadi sesak nafas? Kot ye ada surat dari doktor mengatakan cenggitu ... barulah berbaloi kau mengamuk sampai macam tu.


Aku tak mahu cerita beza murid dulu dengan sekarang, sebab rata-rata semua orang terutamanya generasi 80an-90an telah merasa pedihnya hidup bila kau sengaja langgar peraturan sekolah. Bukan saja cikgu boleh rotan kau, potong rambut kau, cubit, denda ketuk ketampi dan sebagainya tapi bila mak bapak tahu kau kena 'tiau' dengan cikgu, mak bapak akan 'tambah' lagi sambung di rumah hehe. 


Begitulah jugak aku kena dulu haha. Tapi lepas tu, nak buat lagi tak? Takk! At least aku tahu yang next time kalau aku buat hal lagi atau langgar peraturan sekolah, aku tahu yang bapak tidak akan back-up! So what's the point buat jahat kan?


Lagi satu, macam la kau tak boleh simpan rambut panjang tu lepas habis sekolah. Dah habis SPM besok, kau simpan la rambut tu panjang macam pontianak, takda sapa akan gunting rambut kau dah! 


Kepada ibubapa termasuk aku yang mempunyai anak yang masih bersekolah tak kira rendah atau menengah, tolonglah nasihatkan, peringatkan, beri amaran (jika kau tahu anak kau nakal nauzubillah) pada anak-anak kita untuk sentiasa patuh pada peraturan sekolah. Jangan susahkan cikgu dan pihak sekolah. Kau masuk sekolah tu, jadi murid yang taat, hormati cikgu dan siapkan kerja sekolah yang diberi.


Kita semua tahu nak handle anak remaja bukan mudah. Anak nakal, takmo dengar cakap, suka memberontak itu lumrah dalam proses kita membentuk mereka jadi manusia berguna. Aku sendiri kadang-kadang mengucap panjang walaupun anak perempuan haha.


Moga kita semua diberikan kesabaran yang tinggi dalam mendidik dan mengasuh anak-anak kita agar menjadi keturunan yang berhati baik, berperangai baik, hidup dalam keberkatan dan dipermudahkan selalu. Aamiinnn allahuma amiinn..

Tuesday, July 02, 2024

Tuesday, July 02, 2024

Masuk Bundle Di 2nd Street

 

Biar masa berubah namun taste diaorang kekal dengan keindahan dunia bundle. Butik 2nd Street ni kitaorang dah pernah pergi di cawangan Bandar Utama. Lepas tu kitaorang pergi kat cawangan Newtown PJ yang baru dibuka.


Tapi kalini anak-anak rekomen pergi butik 2nd Street di AU2 Keramat. Butik bundle di tingkat 1 dalam mall Aeon ye, so senang la nak cari parking dan selesa untuk bawak anak-anak jalan dalam mall. Agak besar jugak ruang dalam butik ni ye. Rasanya ini butik kedua terbesar lepas di Bandar Utama. Di Newtown PJ tak besar tapi ada 2 tingkat.









Orang perempuan jangan risau, sini banyak pilihan baju, seluar, skirt, beg, kasut dan jaket. Barang untuk orang lelaki pun ada, untuk kanak-kanak pun ada. Tempat besar, selesa, berekon dan cermin dimana-mana hehe. Tak perlu berlaga bahu walaupun penuh orang dalam kedai.










Masuk je bundle, tiga beranak tu hilang tanpa dikesan! Tahu2 je kat tangan masing-masing dah ada baju, beg untuk dimasukkan dalam bakul haha. Takpela nak, ayah yang bayar hahahahaha!

Ayahnya pun rembat sepasang kasut walaupun dirumah dah berlambak kasut. Pasni jangan tanya kenapa orang pempuan beli tudung banyak walaupun kepala ada satu je.

Aku pun amik sehelai jaket blazer, itu pun ayahnya yang tolong pilihkan haha. Selebihnya aku hanya meronda kawasan dan tengok2 apa yang anak-anak tu pilih. Lepas tu nampak cermin ...selfie haha!






Hampir sejam dalam butik bundle, moh le kita pergi makan  perut pun lapar. Kat dalam aeon mall ni makanan dia tak pernah mengecewakan. Sedap dan harga masih ok lagi la. 

Saturday, June 29, 2024

Saturday, June 29, 2024

Sebelum & Selepas Check-Up Mak

 

Kalini giliran aku balik bawak mak pergi check-up di klinik. Pagi tu selepas hantar anak-anak ke sekolah, kami terus pecut balik ke kampung untuk mak. Perjalanan dari KL ke Melaka tak lama memandangkan hari bekerja jadi highway tak berapa jem. Satu kelegaan!


Mak dah stenbai dengan bakul berisi ayam kampung di hadapan rumah. Mak kata sebelum pergi klinik moh le kita pergi jual ayam-ayam ni dulu.





Kat pakcik ni la kami selalu bawak ayam kampung untuk dijual. Sebelum ni kami pergi di satu kedai lagi di Ayer Molek, tapi yang ni bayaran dia elok sikit la hehe. 

Dah setel ayam, baru kami pergi ke kk Ayer Molek. Macam biasa waktu pagi begini ramai pesakit sedang menunggu giliran untuk dapatkan rawatan. Mak kena jumpa doktor, maka 2 jam disini tak lari.





Satu yang aku perasan perubahan di kk ni, preskripsi ubat dah tak ditulis dengan tangan tapi diprint melalui komputer. Kemudian di kaunter farmasi, preskripsi ubat tu disemak semula dalam komputer farmasi bagi mengesahkan jenis ubat yang bakal diterima.

Walaupun barisan agak panjang dan menunggu sedikit lama tapi demi untuk memastikan ubat yang diterima betul, maka usaha ini aku hargai.

Dah setel ubat, barulah kami beransur pulang. Perut dah lapar!




Waktu makan! Kami singgah di medan selera Semabok. Pelbagai hidangan lauk makan tengahari ada disini. Pilih je la yang mana satu diidamkan. Mak dah nampak lauk nangka masak lemak, itulah dituju dulu hehe.


Alhamdulillah keputusan darah mak haritu menunjukkan bacaan darah tinggi, kencing manis, kolesterol dan kreatinin yang baik dan masih dalam kawalan. Maka, doktor suruh kekalkan ubat yang ada. Syukur sangat! Moga mak diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan selalu.



Disclaimer

If you require any more information or have any questions about our site's disclaimer, please feel free to contact us by email at wanimira737@gmail.com.


All the information on this website is published in good faith and for general information purpose only. www.hanimhashim.com does not make any warranties about the completeness, reliability and accuracy of this information. Any action you take upon the information you find on this website (www.hanimhashim.com), is strictly at your own risk. www.hanimhashim.com will not be liable for any losses and/or damages in connection with the use of our website.