Entah Siapa Yang Salah Ku Tak Tahu
Bersawang habis blog bulan ni! Mana pergi semangat tu entah. Nak kata hilang, takda sebab. Mungkin terlampau sibuk dengan hidup sekarang sejak aku amik balik jawatan mama supir haha. Tapi syukur sangat kehidupan kini sedikit berubah. Tapi penatnya yarabbi! Badan dah tua la katakan.
So moh le kite citer pasal ekspo kucing yang aku pergi awal bulan Oktober aritu. Memang aku dah lama sangat target nak bawa anak-anak pergi sini. Since kali pertama kami pergi sini, memang aku tak tahu apa nak expect atau nak kena bawa apa. Tapi yang aku tahu aku nak pergi sana tengok barang-barang kucing dan survey harga kibble.
Ekspo Kucing yang berlangsung selama 3 hari ni diadakan di MARTRADE dari jam 10 pagi sehingga 10 malam. Kami dapat pergi pada hari terakhir ekspo, memang dah dapat agak akan lebih meriah dan padat dengan orang yang pergi pada saat-saat akhir. Tapi syukur kami pergi pagi dan tak perlu bersesak beratur nak beli tiket.
Bayaran lima ringgit sorang, memang ok la sangat kan. Dapat gelang masuk dan buku baucar untuk tebus pelbagai barang kucing. Aku dah tak sabar nak 'ukur jalan' dalam dewan tu hehe. Anak-anak cakap mama ni terlebih eksaited sangat padahal bukan shopping barang aku atau diaorang pun. Eh mesti le eksaited, ni first time kot! Sayang anak-anak bulus macam ni la, kan aku dah cakap kalau dah sayang memang sayang sungguh!
Dah cukup tebus free gift dan beli kibble untuk 'majikan-majikan' di rumah, so moh le kita balik hehe. Alhamdulillah misi tercapai nak datang ekspo ni. Memang puas hati sangat dengan aturcara event ni, walaupun ramai sangat orang tapi masih mudah dapat parking kereta. Cuma kat pintu masuk tu kadang-kadang 'berlaga' dengan troli bawa barang yang keluar masuk. Bukti jualan laris la kan!
Thank you suami dan anak-anak temankan mama jalan-jalan kat ekspo kucing ni. Looking forward to the next event kalau diizinkan :).
Assalamualaikum. Baru-baru ni masa bawak mak pergi check-up kat klinik, aku berhadapan dengan situasi yang menghibakan . Kebanyakan yang datang ke klinik tu adalah orang tua samada ditemani pasangan, atau anak atau datang seorang.
Kalau datang check-up first kena pergi kaunter pendaftaran letak buku temujanji. Tunggu nama dipanggil, pastu bawak mak pergi cucuk amik darah hujung jari untuk test glukosa. Pastu pergi bilik sebelah pulak amik berat badan tekanan darah. Pastu pergi pulak kaunter satu lagi ikut zon dan letak buku dan tunggu lagi nombor dipanggil. Lepas tu barulah masuk bilik jumpa doktor.
Begitulah rutin aku dan mak setiap kali ada temujanji di klinik. Kalau yang datang ditemani pasangan atau anak takpela. Ni ada yang datang seorang, terkial-kial tak tahu ke mana hala tuju lepas pendaftaran. Ada seorang pakcik ni dia datang seorang, lepas pendaftaran dia pergi ke tempat nak cucuk darah dan terus letak buku dalam bakul dan pergi duduk di kerusi. Aku yang tengok tak sampai nak buat tak tau. Aku panggil pakcik tu balik dan tekankan nombor giliran dan ketip satu nombor di buku dia, satu lagi suh dia pegang. Kalau nombor disebut baru pergi ke kaunter. Terkial-kial dia blur disitu, tak tau la dia faham ke tak aku cakap ape.
Mak yang turut ada kat situ pun cakap,"macam tu la abah kau dulu. Sorang-sorang datang tak tau nak pergi mana dulu. Mak dulu pun masuk klinik sorang-sorang. Abah kau tunggu kat luar". Hmm terdiam aku. InsyaAllah mak ... pasni mak takkan keseorangan lagi di klinik. Anim akan teman mak selagi anim mampu.
Dan alhamdulillah sejak dari temujanji mak di Hospital Melaka lagi sampai sekarang, aku yang akan balik pastikan mak dapat pergi klinik. Bagi aku perkara sebegini memang jadi tanggungjawab anak. Bukan tanggungjawab cucu atau anak sedara melainkan ada hal mustahak yang tak boleh dielakkan, barulah boleh mintak tolong orang lain. Tapi sebolehnya, aku akan usahakan jugak untuk balik atau paling teruk pun tukar je tarikh temujajanji. Asalkan tidak menyusahkan sedara mara.
Tapi tu la keputusan pemeriksaan kesihatan mak kali ni membuatkan aku sedikit risau. BP naik, gula naik, berat badan pun naik! Mana taknya, makan durian aritu sepuas-puasnya mak cakap. Pastu raya haji dapat sumbangan daging korban makan lagi. Mana tak naik segala. Aku diamkan je la, memang betul pun haha. Tapi pasni mak kena kawal balik ye.
Puas duduk seminggu ngan mak. Bawak mak keluar makan di kedai hampir setiap hari. Happy sangat tengok mak dapat jalan-jalan sekitar pekan walaupun hanya untuk pergi beli barang. Haihh sedih lagi :(. Moga satu hari nanti aku dapat transfer sini balik duduk ngan mak...
Assalamualaikum! Semakin hari semakin rancak dunia alam maya sekarang. Macam-macam isu sensasi yang aku perhatikan di media sosial baik di FB mahupun di IG. Yang baik kena puji, yang buruk kena keji. Itu memang dah jadi sebahagian dari rutin harian netizen. Ye la ... semua news sekarang di hujung jari. Kau tak puas hati boleh terus tunjuk kat komen.
Kadang-kadang aku tak faham dari mana datang 'kekuatan' orang yang cuba nak tarik perhatian orang lain dengan upload konten dengan niat nak provoke orang kat media sosial. Tak terfikirkah benda itu akan menjatuhkan diaorang? Tak terfikirkah pendapat diaorang tu hanya akan memburukkan keadaan?
Isu Agama
Sekarang masih 'panas' isu video yang viral tentang penghinaan terhadap Islam oleh orang Islam sendiri. Yang ni ramai dah agak memang perbuatannya disengajakan dengan niat menimbulkan provokasi terhadap orang Islam. Dah kena tangkap pun minah tu dan bfnya.
Moga jadi peringatan dan pengajaran buat kita semua. Jangan tunjukkan kebodohan dan kejahilan kita pada orang bila Allah sedang menutup aib kita. Kau nak provok siapa bila buat share konten macam tu? Kau nak orang bergaduh? Nak tunjuk yang kau berani bersuara? Kau dapat apa? Aku pun tak faham orang macam ni.
Isu Bangsa/Kaum
Bukan mudah nak hidup harmoni dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kadang-kadang ada selisih faham tu biasa la. Sedangkan adik beradik satu bapa satu mak pun bolehkan bertikam lidah. Tapi janganla sampai pergi tunjuk kat media sosial melainkan ia melibatkan kesalahan jenayah. Zaman sekarang ni silap sikit je pun orang dah up kat FB lalu jadi viral. Habis orang lain yang takda kene mengena pun terpalit sama.
Sama-sama la kita jaga keharmonian ni. Tak kira apa pun bangsa, kalau dah hidup berjiran atau bekerja sama dalam satu bangunan kena hormat antara satu sama lain. Cuma jangan melampau pergi masuk campur urusan kaum lain kemudian jadikan topik membawang di media sosial. Tak cerdik ah gitu. Dia punya hal dia punya hal lah. Kita tak perlu nak judge kaum lain ok.
Hal Keluarga
Yang ni cukup kena jaga. Tutup rapat-serapatnya. Jangan bagi orang luar dapat bayangan apa yang kau sedang lalui. Kalau ikutkan hati, memang banyak benda kita tak puas hati. Tapi kalau perlu lepaskan, jangan pilih media sosial. Tak kisahlah apa-apa hal pun, pasal jiran ke, mertua ke, ipar duai ke, penyondol ke, pasangan ke, anak ke, majikan ke, rakan sekerja ke.
Dah tu nak lepas ke siapa? Kalau aku cakap "mengadu je pada Allah" bunyi macam cliche sangat kan. Tu semua orang pun tau. Tapi sebagai seorang yang dah dewasa menginjak ke usia 40 tahun ni, aku sendiri pun dah 'penat' nak marah2 orang. Aku tersangat sayang pada diri sendiri sampai aku rasa membazir buang emosi hanya kerana aku marah orang tu. Buat apa penatkan hati. Darah tinggi dari takda jadi ada. Untuk apa? Buang terus orang tu dari hidup kau. Jangan mention dia di mana-mana pun. Dia tak layak ada dalam ingatan kau.
Isu Haiwan
Yang ni pun viral gak baru-baru ni. Pasal haiwan ni boleh jadi banyak cabang tahap kesensitifannya. Bergantung kepada konteks yang dibincangkan. Macam baru-baru ni yang viral pasal stetmen dari seorang selebriti tentang bagi anjing makan. Aku pun tak setuju stetmen dia tu. Mana boleh pukul rata macam tu. Sampai ke hati kau kalau jumpa anjing tepi jalan merenung penuh harapan menunggu seseorang bagi makan. Dia bukan macam kucing boleh mengiau kita dah tahu dia lapar. Ni kalau anjing menyalak kang, habis kita lari lintang pukang sebab ingat dia nak kejar gigit kita. Walhal dia mintak makan.
Berhati-hatilah bila nak beri pendapat tu. Orang lain nak bagi anjing makan biarkan dengan cara mereka asalkan pandai jaga sentuhan. Setakat bagi makan takkan nak jadi isu. Kalau pencinta haiwan, takda isu anjing atau kucing. Isunya dia lapar dan kita kena bantu bagi dia makan.
Lain la kalau kau jadikan anjing sebagai 'bodyguard' masuk keluar mall. Jadikan anjing sebagai haiwan peliharaan macam kucing. Ha yang tu memang kena tegur la. Kena tahu hukum la. Apatah lagi kita ni orang Islam. Jangan buat hukum sendiri.
Hal Suami Isteri
Aku tak pasti orang lain, tapi bagi aku isu suami isteri ni agak sensitif untuk dibincangkan secara terbuka di media sosial. Tak kisah samada kesalahan itu dari pihak isteri atau suami, tapi sebolehnya jangan dicanang. Sebab kita pun tak sempurna di mata dia cuma pasangan tak canang. Kalau dia canang jugak, maknanya dia pun 2x5 la haha. Hal suami isteri ni kena cakap depan-depan. Kalau nak gaduh biar dia depan muka kita. Cakap apa yang terbuku di hati. Biar habis di situ.
Bila dah up di media sosial, ia akan melibatkan orang luar dalam masalah yang hanya kita dan pasangan je yang tahu. Orang yang komen pun bukan tahu situasi sebenar.
Itu je yang aku dapat fikirkan buat masa ni. Kalau pasal kongsi gambar makanan, kebahagiaan rumahtangga, anak dapat 10A SPM, beli barang berjenama atau bercuti itu tak berapa sensitif bagi aku. Kita happy bila tengok orang happy. Tak perlu dengki mendengki apatah lagi cakap belakang.
Benda ni juga jadi pengajaran buat aku dan anak-anak. Sering aku ingatkan diaorang, jangan sesekali dedahkan perkara yang tak sepatutnya diketahui orang di IG atau tiktok. Nak cari solusi sila berbincang dengan orang tu. Hatta bergaduh ngan kawan sekolah sekalipun, jangan disindir kawan tu dalam status ke ape. Manners kena jaga.
Assalamualaikum! Sekarang masih rancak orang membeli durian walaupun dah nak hujung musimnya. Kat kawasan umah ni pun orang masih rancak mengambil kesempatan menjual dan membeli durian sementara harganya masih berpatutan.
Aku ni pulak tertahan-tahan dari awal bulan lagi nak beli ke tak durian tu. Hari-hari berjalan kat tepi port diaorang menjual tapi mampu jeling tepi dan berlalu pergi haha. Dah la situ dapat sambutan ramai pulak yang sanggup beratur semata-mata nak membeli dan merasa pelbagai jenis gred durian yang dijual. Bayangkan lepas solat Jumaat, pelanggan dah beratur depan port tu untuk beli.
Tak pernah lagi aku tengok sambutan luar biasa macam tu. At least bukan kat tempat aku ni la. Tapi kali ni memang betul-betul orang sanggup demi nak makan durian. Dipendekkan cerita, satu hari aku dapat panggilan. Suara tu aku kenal betul. Rupanya pakcik sedara aku😂
Assalamualaikum! Satu hari aku masuk pasaraya E nak beli barang macam biasa. Dah pilih barang yang aku nak, aku ke kaunter untuk bayar. Tiap kali dia scan barang, akan keluar harga dekat monitor.
Eh ... empat ringgit lima posen? Seingat aku, kat rak tadi harga barang tu empat ringgit dua puluh sen. Kenapa bila scan jadi mahal tiga puluh sen? Lalu aku tanya budak cashier tu, "dik .. harga kat rak empat ringgit dua puluh sen bukan harga ni". Dia boleh jawab,"oh harga dah naik kak..". Ya aku tahu harga naik tapi itu bukan harga di rak. Yang korang update tu hanya dalam sistem.
Dia pertahankan harga yang dalam sistem dan bagi alasan banyak barang nak kena kemas dan tak sempat update dalam sistem. Dia bercakap seolah-olah dia pekerja tunggal dalam pasaraya tu. Dah tu, manager wat mende? supervisor wat mende? Banyak dah alasan macam ni aku jumpa. Isu tag harga di rak tak sama dengan yang dalam sistem ni berlaku dimana-mana je. Dah tentu lah sebagai pengguna aku bayar untuk harga di rak saja.
Bukan kerja aku atau pengguna lain nak kena terima alasan "banyak barang nak kena kemas". Kalau dalam sistem korang laju je tukar harga, tapi kat rak banyak cekadak ko bagi alasan yeh. Dari aku bertekak dengan dia, aku suh dia panggil manager/supervisor.
Aku tanya,"kak...kalau tag harga di rak tak sama dengan dalam sistem, kena ikut harga di rak betul tak. Kak tahu kan peraturan tu?". Dia jawab dengan profesional dan mengaku kesilapan. Dipendekkan cerita, dia kira barang tu dengan harga empat ringgit dua puluh sen seperti yang tertera di rak. Setel kat situ jugak.
Moral of the story, tak kisah lah berapa beza harga di rak dengan dalam sistem kalau dah tak sama tu kena bagitau diaorang. Jangan fikir, eleh tiga posen je pun beza takkan tu pun nak kecoh. Ni bukan soal kecoh, tapi peraturan penetapan harga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Boleh je kita nak cakap balik ke dia, kalau tak kecoh takyah bayar la tiga posen tu.
Eh pandai pulak tak bagi😒
So pada pekedai runcit atau pasaraya, jangan bagi alasan banyak kerja nak kena susun barang la ape la. Orang takmo dengar tu. Aku tak tahu celah bedah mana yang payah sangat korang nak tukar tag harga kat rak. Ko bukan buat kerja sukarelawan ye.
Assalamualaikum! Inilah obsesiku selain kucing. Dah dekat sebulan aku dok ulang makan bubur berlauk yang aku beli dekat dengan opis aku. Walaupun bukan hari-hari beli tapi bila aku keje siang, memang inilah makanan pagi sampai petang.
Dia punya obsesi tu, kalau hari tu bubur berlauk takde atau habis boleh kemurungan kejap aku haha. Lepas tu blur tak tau nak sarapan ape dah sebab memang dah terbiasa makan bubur berlauk. Sekali beli dua atau tiga bekas. Satu mangkuk tu aku boleh kenyang sepanjang pagi. Kang tengahari sekali. Kang petang sekali haha.
Ada sekali hari tu suami bawa balik bubur berlauk beli kat old town PJ. Harganya murah lima posen tapi rasanya tak sesedap yang aku beli ni huhu. Payah nak jumpa bubur berlauk sedap dan kena dengan citarasa tekak ni.
Dalam bubur berlauk ni ada cebisan ayam goreng, telur asin, daun bawang dan bawang goreng. Bubur dia bukan rasa kosong tapi rasa pedas-pedas lada gitu so memang kena la dengan ayam dan telur asin tu. Tapi tak boleh makan hari-hari sebab telur asin kan.
Hari ni ketamakan aku terserlah bila aku beli tiga bekas terus! muahaha. Alhamdulillah. Itupun suami tanya tenghari kang nak nasi tak? Rasa-rasa aku jawab ape ...? hahaha :p
Maximum satisfaction!
Assalamualaikum! Bulan lepas kami 'diuji' dengan Covid-19. Macam mana elak sekalipun, kalau Allah izinkan maka kena lah. Bulan ni kereta pulak buat hal. Kalau ikutkan usia dah lebih 10 tahun umur kereta tu. Tapi kami baru guna lebih kurang 5 tahun.
Macam-macam 'dia' bagi kat kami. Tersadai tepi jalan berapa kali. Tayar pancit la, bateri kong la. Tahun lepas lagi dashyat, bahagian enjin kereta terbakar di lot parking rumah. Masa tu aku kerja pagi. Suami dah start enjin, nampak api keluar dari bonet depan. Langsung suami off balik, tarik kunci bukak bonet dan cabut kabel bateri.
Aku yang baru turun tangga terpinga-pinga bila suami jerit mintak tuala basah. Ingatkan ape, rupanya bonet depan keluar api! Mujur jiran bawah tu cepat respon. Dia la yang bagi kami kain basah dan air sebaldi. Aku berulang alik pergi tadah air kat umah jiran.
Habis cair semua kabel yang getah dan plastik. Sikit lagi api nak menuju ke salur petrol. Aku sedih juga kalau kereta tu ditakdirkan meletop terbakar. Tapi lagi sedih kalau kereta jiran-jiran sebelah terbakar sekali. Ya Allah mintak dijauhkan macam tu! Dah la parking kawasan blok dekat-dekat plak tu.
Syukurlah takda yang serius, tiada kemalangan jiwa cuma memang bahagian enjin tu banyak kabel cair. Melengung aku pagi tu.
Berbulan lamanya kami 'patah kaki'. Mujurlah ada kawan baik hati pinjamkan kereta untuk bagi kami guna sementara nak tunggu kereta tu siap dibaiki. Dah la kakak dan adik sekolah setiap hari. Memang ujian betul masa tu.
So kalau nak dibandingkan situasi tahun lepas dengan yang berlaku baru-baru ni aku masih rasa bersyukur sangat. Sebab kali ni, bukan melibatkan kebakaran. Ramadan ke-6 kami balik kerja macam biasa lepas buka puasa di pejabat. Sikit lagi nak sampai rumah tetiba temperature kereta naik mendadak dan mengeluarkan bunyi amaran. Terus suami berhentikan kereta di tepi jalan.
Call syarikat insurans untuk arrange trak tunda. Hampir dua jam jugak kami tersadai di situ sebab orangnya asyik tak jumpa jalan. Akhirnya trak sampai dan kami minta tunda kereta sampai ke rumah. Pertama kali kami merasa naik trak tunda hahaha. Yang lebih sikit eksaitednye aku le. Anak-anak ngan ayahnya control tentang aje.
Syukur esoknya kereta dah boleh jalan balik lepas suami tukar something (serius aku lupa ape benda tu hahaha). Ni kelmarin, kereta tu meragam lagi. Start enjin tak hidup pulak. Mujur la tak tersadai tepi jalan. Langsung bawa ke bengkel, tengahmalam semalam baru siap.
Begitulah cabaran berkereta lama ni. Sikit-sikit dia 'sedut' duit kita hehe. Situ rosak, sana jem. Bulan lepas yang ni rosak, bulan ni yang tu rosak. Harap-harap dekat nak raya ni jangan la buat hal lagi ye.